Tuesday, October 16, 2012

UDANG PEPAI

Assalamualaikum dan salam mesra dari saya buat semua. Pernah dengar udang pepai? Saya pun tidak pernah dengar apatah lagi merasa semasa sebelum berkahwin dulu. Di kampung saya tidak pernah ada penjual ikan yang menjual udang halus atau geragau. Biasa yang saya lihat hanyalah udang-udang laut yang bersaiz sederhana besar sahaja dijual. Udang galah pelbagai saiz pula saya dapat kenal dan merasa kerana bapa saya memang rajin turun ke sungai mengail atau menjalanya.
Namun setelah mendirikan rumahtangga barulah saya tahu ada menu udang pepai yang mertua jadikan juadah untuk dimakan bersama nasi, atau pun jika suka hanya boleh diratah begitu sahaja. Sedap. Lebih kurang seperti cucur udang sahaja ramuannya.





Udang yang saya gunakan untuk membuat udang pepai ini bukanlah udang geragau sebab di pasar memang tiada dijual. Rata-rata sudah diborong oleh tauke membuat belacan. Terpandang udang halus ini saya pun beli dalam setengah kilogram. Pulang ke rumah menelefon mertua di Johor Bahru lantas memastikan resepinya yang saya ingat-ingat lupa. Jom kita lihat resepinya...

Bahan-bahannya:

500 gram udang halus - buang kepala, cuci bersih dan toskan
3 cawan tepung gandum
1 inci halia - tumbuk lumat
3 ulas bawang putih - tumbuk lumat
1/2 sk serbuk kunyit
1 biji telur - pukul sebati
3 tangkai daun sup - hiris halus
3 tangkai daun bawang - hiris halus (saya tambah)
1/2 sk serbuk penaik - (saya tambah)
1/2 sk soda bicarbonate (saya tambah)
garam secukup rasa 
air secukupnya
Cara-caranya:
1. Dalam mangkuk, masukkan tepung, halia, bawang putih, serbuk kunyit, serbuk penaik, soda bicarbonate dan garam. Gaul sebati.
2. Masukkan udang halus, gaul diikuti oleh telur. Kacau lagi. Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit sambil digaul sehingga adunan tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair.
3. Masukkan daun sup dan daun bawang dan gaul sebati.
4. Panaskan minyak dan goreng sesudu hingga sesudu hingga garing keperangan.
5. Sedia dihidangkan bersama nasi panas ataupun dimakan begitu sahaja. Boleh juga dicicah dengan sos kegemaran.

1 comment:

  1. macam cucur udangkn tp campur halia..menarik boleh cuba ni..snang jekn?eheheh!!!

    ReplyDelete