Wednesday, March 10, 2010

KEMBONG BAKAR BERSAMBAL



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Pada mulanya saya berniat hendak masak pais ikan kembong ini tetapi daun pisang pula tiada jadi saya bakar sahajalah. Boleh tahan sedapnya, bukanlah bermaksud masuk bakul angkat sendiri. Nauzubillah. Sesekali makan berlaukkan ikan kembong bakar bersambal sedap juga. Saya cuba-cuba sahaja resepi ini. Sambalnya saya masak dahulu supaya tidak perlu menunggu lama tempoh membakarnya. Jom kita kongsi resepi.

Bahan-bahannya:

5 ekor ikan kembong sederhana besar
4-5 sudu besar cili kering dikisar
5 biji cili merah dikisar
3 biji bawang besar dikisar
1 biji bawang putih dikisar
1 batang serai dikisar
1/2 inci lengkuas muda dikisar
1/2 inci halia dikisar
1/2 inci kunyit hidup dikisar
sedikit belacan
air asam secukupnya
garam, gula dan perasa secukupnya
aluminium foil secukupnya

Cara-caranya:

1. Tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau. Tambahkan garam, gula dan perasa ( ikut suka ) secukup rasa. Biarkan mesra dan masak.
2. Gunting aluminium foil mengikut saiz yang dikehendaki. Letak sambal di atasnya, kemudian letakkan ikan kembong tadi dan tutup dengan sambal. Bungkus rapi. Buat hingga habis.
3. Panaskan oven dengan kepanasan 190C dab bakar ikan tadi 10-15 minit.

1 comment:

  1. mak aih sodapnyo, kalo podeh lagi sodap hehe :)

    ReplyDelete